Saturday, January 15, 2011

4 pelajar Brunei sertai Kem CyberKids ASEAN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Dengan membawa hasrat bukan sahaja untuk menimba ilmu mengenai dunia ICT tetapi dengan harapan untuk memperkenalkan serta mempromosikan keunikan, keindahan dan kebudayaan Brunei, seramai empat pelajar bersama dengan dua guru pengiring mereka berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia untuk menyertai Kem CyberKids ASEAN 2010 bermula hari ini hingga 27 November.

Rombongan itu terdiri dari dua pelajar Menengah 5 Lelaki dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Abdul Waaliummul Fadzl Haji Abdul Wahab dan Md Amirul Alif Jonhirman, dua pelajar dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Siti Nurul Bazilah Haji Mohaimin dan Dayangku Nur Khairunnisa Amalina Pengiran Azmali bersama dua guru pengiring iaitu, Haji Azrin Haji Tunjang dan Dayangku Sri Hani Pengiran Duraman.

Perkhemahan yang diadakan di Cyberjaya Lodge, Putrajaya itu akan mengetengahkan pelbagai kegiatan bagi peserta-peserta dari negara-negara ASEAN termasuk mengadakan lawatan, melakukan pertunjukan kebudayaan serta mempamerkan tayangan projek mereka.

Menurut Haji Azrin, pelajar-pelajar yang menyertai kem itu merupakan pelajar terpilih dari pasukan juara dan naib juara dalam Pertandingan Multimedia Pendidikan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah dan dalam perkhemahan itu, pelajar-pelajar akan menunjukkan projek klip video mengenai Brunei kepada peserta-peserta lain di perkhemahan berkenaan.

Diharapkan menerusi penyertaan di dalam perkhemahan itu, pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang ICT, bertukar-tukar pengalaman dan budaya tetapi pada masa yang sama dapat mempromosikan negara sebagai sebuah negara yang unik dan kaya dengan sejarah serta alam sekitar yang indah

No comments: