Tuesday, January 12, 2010

Peratus kehadiran dititikberatkan untuk kenaikan kelas

Penyampaian taklimat oleh guru sekolah itu.
Seorang bapa bertanyakan sesuatu mengenai pembelajaran anaknya kepada seorang guru.

Oleh Nurulhikam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Pelajar baru yang menduduki kelas Tahun 7 hendaklah memastikan kedatangan mereka ke sekolah tidak berada di bawah 85 peratus agar tidak dikenakan tindakan penahanan daripada menaiki kelas Tahun 8 sekalipun mereka mencapai prestasi akademik yang memuaskan.

Ini ditegaskan oleh Hajah Suanah Haji Mohd Jaya, guru kanan Hal Ehwal Pelajar sewaktu sesi alu-aluan dan taklimat di Majlis Pendaftaran Penuntut Baru Tahun 7 bagi tahun 2010 di Dewan Serba guna Sekolah Menengah Serasa hari ini

Sekalipun atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan, pelajar yang datang lambat ke sekolah hendaklah memaklumkan segera kepada guru kelas atau kepada guru-guru Hal Ehwal Pelajar supaya kedatangan mereka dapat dicatat ada kebenaran untuk masuk lambat.

Tetapi jika berulang sehingga tiga kali dalam tempoh sebulan akan tetap dicatat sebagai satu hari tidak hadir kelas dan ini boleh menjejaskan peratus kedatangan yang diperlukan untuk seseorang penuntut itu lulus naik kelas.

Hajah Suanah menyampaikan perkara ini sewaktu menerangkan tentang peraturan-peraturan am, tatacara berpakaian dan tata tertib serta larangan yang dilaksanakan di SMPIHM kepada 163 orang penuntut baru yang mendaftar menjadi pelajar-pelajar Tahun 7 di sekolah tersebut.

Sebelum itu, pengetua, Lim Siew King menerangkan dalam kata-kata aluan beliau mengenai Penilaian Menengah Bawah (PMB) ditamatkan dan diganti dengan sistem Penilaian Kemajuan Pelajar yang mengandungi dua komponen iaitu Penilaian Kendalian Sekolah dan Peperiksaan Kemajuan Pelajar.

No comments: