Friday, March 26, 2010

150 Pembimbing Rakan Sebaya sertai Kursus Asas Kaunseling



Oleh Sahama
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Seramai 150 orang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari tujuh buah Sekolah Menengah Kluster 2 mengadakan Kursus Asas Kaunseling bertempat di Hutan Simpan Bukit Shahbandar, Jerudong.

Sekolah tersebut iaitu Sekolah Menengah Serasa, Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah PAP Hajah Masna, Sekolah Menengah Berakas dan Sekolah Menengah Lambak Kiri.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Azrin Haji Tunjang dan diikuti ucapan alu-aluan dari Pengerusi Kaunselor Kluster 2, Haji Halim Abdullah.

Seterusnya, para peserta dan kaunselor bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam "Allah Peliharakan Sultan" diikuti bacaan ikrar PRS. Para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan mengikut nama-nama binatang seperti lebah, kerbau, kambing, kucing dan gajah.

Acara pertama dijalankan dengan aktiviti 'Kepimpinan' iaitu mencari harta karun berpandukan perkataan "kepimpinan". Selain itu, para peserta juga berpeluang membentangkan masalah sosial dan terlibat dalam aktiviti teka-teki 'give us a clue'.

Tujuan utama program ini diadakan untuk membekalkan para pelajar khususnya Pembimbing Rakan Sebaya dengan asas kaunseling dan bersuai kenal di antara Pembimbing Rakan Sebaya dari sekolah-sekolah menengah kluster 2.

No comments: