Friday, March 26, 2010

Sambutan Hari Kebangsaan dan pelantikan prefek 2010 di Sekolah Menengah Serasa




Oleh Mastoris

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Sekolah Menengah Serasa Muara pagi tadi mengadakan acara dua dalam satu iaitu Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-26 tahun dan pelantikan Prefek Baru bagi tahun 2010 di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Acara didahului dengan menyanyikan lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam secara beramai-ramai dan diikuti dengan ucapan daripada pengetua sekolah.

Dayang Lim Siew King, antara lain menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih kepada penuntut-penuntut yang terlibat dalam sama-sama menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei yang ke-26 tahun pada 23 Februari yang lalu.

Di samping itu beliau juga menyeru kepada penuntut-penuntut yang terpilih menjadi Prefek pada tahun ini akan sentiasa menjaga disiplin bagi ikutan para penuntut di sekolah tersebut dan berusaha untuk menaikkan imej sekolah mereka.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar taat setia sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam beramai-ramai yang dipimpin oleh salah seorang penuntut sekolah tersebut dan kemudiannya ikrar prefek dipimpin oleh Ketua Prefek yang baru.

Acara kemuncak di majlis tersebut ialah penyerahan jaket Ketua Prefek kepada Ketua Prefek yang baru dan penyampaian sijil penghargaan kepada prefek-prefek yang baru dan mantan prefek-prefek 2009.

No comments: