Friday, March 26, 2010

Perkampungan MENTEROH bagi BRS Kluster 2



Oleh Sahama

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Para Kaunselor Kluster 2 hari ini menganjurkan Perkampungan MENTEROH (Mental, Tenaga dan Rohani) bagi ahli Briged Remaja Sehat (BRS) bertempat di Masjid Setia Ali, Pekan Muara sempena Sambutan Maulidur Rasul dengan tema "Kepimpinan Rasulullah SAW".

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah pimpinan Haji Azrin Haji Tunjang, nyanyian beramai-ramai lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam "Allah Peliharakan Sultan" diikuti ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Haji Halim Abdullah seterusnya ucapan Penghulu Mukim Serasa merangkap tetamu kehormat Mejar (B) Haji Johari Haji Abd. Razak.

Perkampungan itu dirasmikan tetamu kehormat dan diteruskan dengan acara senaman ringan. Tetamu kehormat juga mendahului menanam pokok longan dan diikuti para wakil dari sekolah-sekolah yang terlibat. Acara dilanjutkan dengan bengkel ciri-ciri kepimpinan Remaja Islam disampaikan Kaunselor Sekolah Menengah Berakas Hajah Mal Hafiza Haji Malek.

Pada sebalah petang, peserta dilibatkan aktiviti membaca surah Yasin, bertahlil, berselawat Syifa dan Dikir Maulud seterusnya Iman Masjid Setia Ali, Pekan Muara, Pengiran Haji Rusman Pengiran Haji Shahbudin memberikan ceramah bertajuk "Kepimpinan Rasulullah SAW. Penutup bagi acara tersebut ialah bacaan ikrar oleh para peserta bengkel yang menyertai perkampungan tersebut.

Seramai 100 penuntut Briged Remaja Sihat mengikuti perkampungan tersebut iaitu dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah PAP Masna, Sekolah Menengah Berakas dan Sekolah Menengah Lambak Kiri. Turus hadir di majlis itu Kaunselor Perunding, Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Ali Yusri Haji Abdul Gafor, para kaunselor, pembantu kaunselor, sukarelawan sekolah dan ahli jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali dan para belia masjid terbabit

No comments: